Tiada jalan mudah

 

Kejayaan nama besar dalam teknologi seperti Microsoft, Dell, Apple, eBay, Amazon, Facebook, Google, Oracle dan puluhan syarikat yang merubah senario dunia bermula daripada hanya impian yang dikatakan tidak mampu direalisasikan.

Apabila namanya sudah popular, kenaikannya nampak mudah tetapi prosesnya panjang bermula daripada hanya angan-angan kemudian ilmu yang dipraktikkan sehingga pengembangan minda yang bukan tertumpu kepada satu objek saja.

Makna pemikiran satu objek saja termasuk tahap pengembangan minda kreatif yang mampu berfikiran kritis sehingga menghasilkan teknologi mencorakkan kehidupan manusia.
IT@Metro senaraikan nama besar dalam teknologi yang antara lain pernah memasuki carta individu teknologi berpengaruh sepanjang zaman.

1. Bill Gates (Microsoft)

2. Steve Jobs (Apple)

3. Mark Zuckerberg (Facebook)

4. William Bill Redington Hewlett dan Dave Packard (HP)

5. Charles Ranlett Flint (IBM)

6. Gordon Moore dan Robert Noyce (Intel)

7. Jack Dorsey (Twitter)

8. Larry Page (Google)

9. Pierre Omidyar (eBay)

10. Micheal Dell (Dell)

11. Takeshi Mitarai, Goro Yoshida, Saburo Uchida dan Takeo Maeda (Canon)

12. Masaru Ibuka dan Akio Morita (Sony)

13. Leo Mechelin dan Fredrik Idestam

14. Dennis Crowley (Foursquare)

15. Kevin Systrom (Instagram)
Nama terbabit ialah antara tokoh teknologi namun masih terdapat ratusan pencetus teknologi lain yang hebat.
Ratusan nama yang diiktiraf sebagai pencetus teknologi mempunyai satu persamaan paling jelas iaitu mereka pernah gagal namun pada masa sama tidak pernah menyerah diri dengan kegagalan yang pernah dirasai.
Jobs bukan hanya melakukan satu percubaan sehingga iPhone berjaya manakala Gordon Moore bukan memerlukan sehari untuk mencipta cip pemprosesan komputer.
Mereka memanfaatkan ilmu dan idea yang dihubung­kan bersama sehingga mampu menghasilkan teknologi tidak pernah dibayangkan manusia sebelum ini.
Usaha yang tidak pernah putus dan percubaan demi percubaan menjadikan produk berjaya antara kunci utama kejayaan Facebook atau Google.
Mereka tidak pernah duduk diam dan tidak berharap menjadi jutawan sekelip mata sebelum berjaya menghasilkan sesuatu.  Jika anda ingin mengaitkan­nya dalam senario di negara ini, ramai yang ingin menjadi kaya namun tidak ramai mahu menjadi pencetus teknologi terlebih dahulu.
Misalnya begini, dalam kebanyakan kes yang dilaporkan di akhbar, ramai yang mahu menjadi kaya sekelip mata dan sanggup mengeluarkan modal puluhan ribu kononnya merealisasikan impian sebagai jutawan.
Meskipun tidak salah tetapi tahap pemikiran perlu diubah sebelum mahu menjadi orang kaya dan pasti­nya teknologi mendatangkan keuntungan lumayan kalau rajin serta mampu berfikiran kritikal dalam menghasilkan idea baru.
Zuckerberg tidak pernah menjadikan kaya sebagai motivasi utama memba­ngunkan Facebook namun inovasi yang menjadi cetusan teknologi web dunia sosial itu berjaya menjadikan beliau antara individu terkaya di dunia pada masa kini.
Dalam biografinya, Zuckerberg berusaha keras membangunkan idea Facebook dan menjadikan kegilaan mencipta program sebagai hobi nombor satu sehingga sanggup mengabaikan kehidupan sosial beliau berbanding rakan lain.
Ia jauh berlainan dengan sesetengah individu yang hanya mementingkan hiburan, malas berfikir dan cepat berputus asa ketika melakukan kerja.
Sebab itulah kita me­nyaksikan longgokan m­at rempit berpeleseran yang tidak hanya menggunakan teknologi disuapkan terus kepada mereka dan bukannya pencetus teknologi di dunia.
Inovasi memainkan peranan penting manakala idea mendepani dunia moden yang menjadikan teknologi sebagai kunci utama.
Pemacu negara tertumpu kepada modal insan tetapi makna modal insan adalah keupayaan memanfaatkan teknologi. Apabila Omidyar, Flint dan Dorsey mula mencipta laman web serta aplikasi mereka, tidak terlintas kerja mudah di depan mereka.
Twitter misalnya bukan hanya tertubuh dalam masa 24 jam atau dengan modal seratus dua sebelum berjaya.  Dalam buku kejayaan pencetus teknologi, tiada seorang pun yang tidak pernah gagal, pernah ditipu dan terpaksa menjual syarikat.
Di sebalik kegagalan bukan sekali dua, tiada pencetus teknologi yang berputus asa dan lemah dalam mengatur perancangan masa depan.
Sekali gagal bagi seorang pelopor teknologi tidak bermakna mereka perlu berhenti mencuba. Sifat terbabit perlu wujud dalam golongan yang dinamakan pencetus teknologi. Crowley pun tidak hanya mencipta 10 baris kod program dan terus berjaya.  Beliau mengambil masa sehingga dalam tempoh terbabit, Crowley mempelajari bagaimana untuk menjadikan kodnya lebih baik. Google tidak pernah membayangkan mereka hanya entiti yang hanya mencipta pelayar web.
Bayangkan kalau dua individu terbabit berhenti setakat pelayar web? Anda mungkin tidak memegang telefon Samsung Galaxy Note, S4, HTC One atau Sony Xperia Z yang ada dalam poket seluar atau beg anda sekarang.
Pemikiran mereka melangkaui satu idea saja, sebab itu mereka berjaya mencipta Android dan idea mereka menjadikan dunia perkomputeran itu sebagai idea menyeluruh dan tidak terhad kepada web saja.
Apabila Jobs mahu mencipta telefon selepas berjaya dengan komputer Mac beliau, idea penciptaan terbabit bukan kerana beliau mahu menjual telefon saja tetapi sebagai pencetus teknologi, beliau dapat merasakan idea ‘sentuh’ lebih baik kepada kehidupan manusia.
Ketika iPhone dikeluarkan, beliau sudah melihat telefon bimbit sebagai teknologi komunikasi masa depan yang wajib ada pada setiap individu di dunia. Beliau pernah gagal ketika membangunkan iPhone tetapi pernahkah beliau patah semangat? Ramai yang beranggapan idea telefon dengan fungsi sentuh bukan idealistik dan sukar digunakan, adakah Jobs pernah kecewa dan lemah semangat dengan kutukan terbabit?
Tanpa sedar, idea kesemua pencetus teknologi bukan saja berjaya menaikkan individu tetapi negara yang menjadikan modal insan penting sebagai pendaya kepada kemajuan.
Bayangkan juga pemikiran rakyat Malaysia sama seperti kesemua individu dibantu pembangunan program yang mampu melahirkan pencetus teknologi di negara ini, pasti negara sama standardnya dengan Jepun mahupun Taiwan dan bukan sekadar ‘makan’ saja hidangan yang ada.
Tetapi kitalah yang menghidangkan makanan dan pelanggan meminta hidangan terbabit sehingga sanggup beratur untuk mendapatkannya atau sekurang-kurangnya mahu menceduk makanan dihasilkan.
Sudah pasti, ramai mengetahui teknologi adalah kunci ekonomi berpendapatan tinggi negara. Kebanyakan negara maju seperti Jepun tidak mempunyai sumber asli dan hasil bumi yang banyak, tetapi mereka mampu melonjakkan ekonominya ke tahap tinggi hasil kemampuan menggerakkan inovasi sebagai tunjang pembangunan. Ternyata kuasa teknologi asas kemajuan negara dan dunia dan dalam menjayakannya memerlukan kita bergerak di luar kelaziman dan berani melakukan anjakan paradigma.
Teknologi perlu dilihat sebagai pelaburan masa depan dan ini bermakna, kita perlu memperuntukkan bajet khusus dan besar.
Sehubungan itu, perbelanjaan tek­nologi tidak boleh dilihat sebagai perbelanjaan semata-mata, sebaliknya pelaburan yang akan menguntungkan negara pada jangka masa panjang.
Sebelum ini, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan mesti melangkaui 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Cadangan ini sebenarnya tidak keterlaluan jika kita ingin me­ngekalkan daya saing Malaysia sebagai antara negara paling kompetitif dan berekonomi kelas global. Manakala kita harus akui bahawa peranan institusi pengajian (IPT) perlu disokong pihak luar seperti industri.
Kerjasama dan sinergi amat penting dalam hal ini kerana proses teknologi akan lebih terserlah jika kreativiti digabung­kan yang akhirnya mencipta idea lebih baik.
Oleh kerana itu juga, hubungan akademik dan industri sememangnya ditekankan sebagai satu jalinan kukuh menjayakan inovasi khususnya dalam soal pengkomersialan hasil penyelidikan.
Mewujudkan ma­syarakat yang mempu­nyai idea teknologi tinggi memerlukan beberapa sokongan dan ini termasuk polisi dan dasar kerajaan serta pendekatan pendidikan.
Dalam melahirkan pencetus teknologi di Malaysia, kita memerlukan pembangunan bakat berkualiti dalam ruang lingkup lebih luas dan komprehensif.
Kepelbagaian dalam modal insan atau bakat ini adalah perlu bukan semata-mata untuk tujuan pembangunan ekonomi semata-mata tetapi me­nyediakan karakter bersesuaian dengan sifat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
Anda sebagai rakyat Malaysia perlu berfikiran lebih kreatif, tidak mudah berputus asa dan menjadikan motivasi teknologi sebagai asas jati diri.
Selepas itu, tanpa disedari anda akan melihat kejayaan diri pada masa akan datang sebagai sebagai individu yang setanding Jobs, Gates atau Dell.

 

-hmetro

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Both comments and pings are currently closed.

Comments are closed.